KUCHING: Dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tampil membantu menjayakan aktiviti gotong-royong membersihkan tapak rumah yang musnah akibat kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Sejijak 25 Januari Lalu.
Seramai 60 ahli terdiri daripada Persatuan Warisan Anak Sarawak (WARIS) dan Perguruan Seni Silat Selendang Abadi (PSSSA) turun membantu keluarga yang terjejas semalam.
Wakil keluarga terjejas, Mohamad Nagib Mohtram berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada NGO yang terlibat membantu untuk membersihkan rumahnya yang 100 peratus hangus dijilat api.
“Banyak agensi tampil untuk memberikan pelbagai sumbangan dan syukur kerana sumbangan yang disampaikan tidak putus sehingga kini.
“Kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu kerana tidak ada barang yang sempat diselamatkan disebabkan semua barang di ruang bawah rumah telah dipindahkan ke tingkat atas ekoran banjir besar yang berlaku tempoh hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sejijak di sini semalam.
Beliau turut menceritakan kronologi kebakaran yang bermula lebih kurang jam 3.30 petang berpunca daripada litar pintas yang mana kebakaran bermula dari tingkat atas rumah setelah jiran melihat asap tebal keluar dari rumahnya.
Beliau turut bersyukur kerana ibu bapa serta adiknya yang kurang upaya sempat keluar dari rumah berkenaan sebelum api mula mengganas.
“Buat masa ini ibu bapa, kakak dan adik saya masih berada dalam keadaan trauma ekoran kejadian tersebut.
“Kini keluarga saya tinggal sementara di rumah adik bapa saya yang berada tidak jauh dari rumah kami di kampung ini,” jelasnya.
WARIS dan PSSSA turut menghulurkan bantuan berupa makanan dan baju bagi membantu meringankan beban keluarga Nagib.
Turut tampil menghulurkan bantuan bekalan makanan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman melalui wakilnya.
Oleh ASYRAF HALIM