
LAWAS: Penduduk di Daerah Lawas meluahkan kekecewaan terhadap gangguan perkhidmatan telekomunikasi, khususnya internet, yang berlarutan sejak lebih dua minggu lalu.
Exco Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Steve Lius, ketika dihubungi mengesahkan situasi tersebut dan mengakui turut mengalami kesukaran berkomunikasi serta menghantar laporan rasmi dari Pusat Khidmat Parlimen Lawas ke Kuala Lumpur.
“Kita akan segera berhubung dengan pihak yang bertanggungjawab mengenai isu ini. Saya sendiri pun sukar untuk menghantar laporan pejabat. Banyak aduan diterima daripada penduduk di kawasan bandar, Banting, Sundar hingga ke Trusan,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Tinjauan pihak media turut mendapati, gangguan internet ini memberi kesan kepada pelbagai urusan harian penduduk, termasuk penggunaan sistem pembayaran atas talian bagi tuntutan Bantuan Madani sekali bayar (one-off) melalui MyKad.
Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk memohon agar pihak berwajib turun padang bagi menilai sendiri situasi sebenar di lapangan, terutamanya di daerah paling utara Sarawak ini.
Bukan hanya penduduk, bahkan pengamal media turut terjejas apabila sukar memuat naik gambar dan laporan berita melalui e-mel, sekali gus menjejaskan kelancaran tugasan harian mereka.
Oleh Adeng Edrus