
SARIKEI: Dua lelaki maut dan seorang wanita cedera parah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Sare, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kemalangan maut tersebut melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta Hyundai Atos.
“Dua lelaki yang meninggal dunia di lokasi berumur 43 tahun dan 58 tahun. Mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kemalangan.
“Manakala, wanita yang cedera parah berumur 58 tahun dan telah dihantar menggunakan ambulans KKM ke Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei menerima panggilan kecemasan sekitar 9.35 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi membantu pihak polis dan KKM untuk mengangkat mangsa kemalangan ke kawasan yang selamat.
Oleh Earl Anek