BERLIN, Jerman: Dua lelaki yang menaiki sebuah pesawat ringan persendirian maut selepas pesawat itu terhempas di atas bumbung sebuah rumah di barat laut Jerman pada Sabtu, menurut pihak polis.
Pesawat ringan itu terhempas di kawasan perumahan di Ganderkesee, berhampiran Oldenburg, sebelum merempuh bumbung condong sebuah rumah secara langsung.

Pada awalnya, polis memaklumkan seorang daripada dua mangsa yang menaiki pesawat itu, masing-masing berusia 65 dan 77 tahun serta berasal dari Bremen, disahkan maut, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, selepas operasi mengeluarkan bangkai pesawat yang disifatkan sebagai rumit dan mengambil masa yang panjang, polis mengesahkan kedua-dua mangsa terkorban dalam nahas berkenaan, menurut Jabatan Polis Delmenhorst.
Bangkai pesawat yang tertanam di bumbung rumah berjaya dikeluarkan, manakala penduduk yang dipindahkan sebelum ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Pihak berkuasa telah membuka siasatan bagi mengenal pasti punca nahas itu. — AFP



