SIBU: Dua individu maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu masuk ke dalam parit di bahu Jalan Sungai Bidut, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan mengalami kemalangan kendiri berada di dalam parit dengan kedua-dua mangsa masih berada di dalam kenderaan.
“Kenderaan berkenaan terlebih dahulu ditarik keluar dari parit menggunakan sebuah jengkaut yang berada berhampiran kawasan kemalangan sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan,” ujarnya dalam satu kenyataan, petang tadi.
Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum menyerahkan mereka kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua mangsa berusia 33 (perempuan) dan 46 tahun (lelaki) disahkan meninggal dunia oleh KKM di lokasi kejadian.
Operasi itu melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, sebelum tamat sepenuhnya pada 4.13 petang.
Oleh Akun Giman




