
MANILA: Dua individu disahkan maut manakala kira-kira 225,985 keluarga terjejas susulan Taufan Wipha dan Monsun Barat Daya yang semakin kuat melanda sebahagian besar kawasan di negara itu, menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) hari ini.
Dua kematian yang disahkan – masing-masing satu di Mindanao Utara dan Caraga – adalah daripada lima kematian yang dilaporkan, menurut Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik laporan situasi terkini agensi itu.
NDRRMC menyatakan jumlah keluarga terjejas itu bersamaan dengan 800,864 orang di 16 wilayah seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 5,921 keluarga atau 20,115 individu sedang berlindung di 319 pusat pemindahan, manakala 16,671 keluarga bersamaan 70,720 orang menerima bantuan di luar pusat pemindahan.
Pejabat Pertahanan Awam sebelum ini memaklumkan bahawa keluarga terjejas termasuk mereka yang telah dipindahkan serta yang tidak perlu berpindah dari kediaman masing-masing.
Tiga kes direkodkan di Wilayah Ibu Negara, tiga lagi di Wilayah 6 (Visayas Barat) dan satu di Mimaropa.
NDRRMC turut melaporkan bahawa sebanyak 1,234 rumah rosak akibat bencana cuaca itu.
Sementara itu, kerosakan infrastruktur dianggarkan bernilai PHP219.3 juta.
-Bernama