Dua maut dalam letupan kilang bunga api di selatan India

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya dua orang maut manakala beberapa yang lain cedera apabila satu letupan besar berlaku di sebuah unit pembuatan bunga api di sebuah kilang di negeri Tamil Nadu, selatan India hari ini, kata seorang pegawai tempatan, lapor Xinhua.

Letupan itu dilaporkan berlaku di kawasan Virudhnagar, di mana kilang bunga api berkenaan dipercayai beroperasi secara haram, kata pegawai itu.

Semua mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke hospital tempatan untuk rawatan, dan kesemua mereka merupakan pekerja kilang terbabit.

PASUKAN penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas letupan berlaku di sebuah kilang bunga api di Virudhnagar, Tamil Nadu, India. Foto Agensi

Menurut laporan terkini, operasi menyelamat dan memberi bantuan sedang dijalankan bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa yang masih terperangkap di dalam unit berkenaan.

Siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan kesahihan lesen atau kebenaran rasmi yang dimiliki oleh pemilik kilang itu. – Bernama