

MIRI: Dua pekerja maut selepas kuarters kayu berkembar yang didiami mereka di Woodman Estate Hostel, Baram di sini musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.59 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, jentera tiba pada 8.20 pagi dan mendapati sebuah kuarters kayu setingkat satu blok dua pintu berkeluasan kira-kira 40 x 30 meter persegi telah terbakar 100 peratus.
“Unit A yang dihuni seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa didapati musnah sepenuhnya dan kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan rentung, manakala Unit B yang didiami lima dewasa dan seorang kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 8.22 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.16 pagi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling