KUCHING: Dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Bau-Lundu pagi tadi dikenal pasti sebagai Then Ah Thaw, 83, dan menantunya, Lim Nyun Kie, 63 tahun.
Ketua Polis Lundu DSP Damatarius Lautin berkata kedua-dua mereka meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Stungkor itu yang melibatkan sebuah treler, Perodua Kenari, Proton Saga dan Perodua Myvi.
Katanya, Then adalah penumpang di bahagian kereta dan terhumban keluar kerana dipercayai tidak memakai tali keledar manakala Lim adalah pemandu kereta terbabit.
Beliau berkata, isteri Lim yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala. Mereka semua berasal dari Kampung Sebigo dan dua yang meninggal dunia adalah petani.
“Siasatan awal mendapati, sebuah lori sedang menuju ke Lundu membawa batu kelikir dan kereta yang datang dari arah bertentangan, Perodua Kenari hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang treler.
“Pada masa sama, Proton Saga melanggar Perodua kenari dari belakang dan ini mengakibatkan Perodua Myvi melanggar lori. Keadaan jalan pada masa kemalangan adalah basah,” katannya.
Pemandu lori, Proton Saga dan Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Perodua Kenari dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dua mayat pula dibawa ke Hospital Lundu untuk bedah siasat.
Oleh Connie Chieng