
JAKARTA: Dua letupan di sebuah masjid sekolah di ibu kota Indonesia semalam mencederakan sekurang-kurangnya 50 pelajar, menurut pihak berkuasa, seorang pelajar disyaki bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.
Letupan berlaku di sebuah sekolah menengah di Jakarta Utara sekitar 12.15 tengah hari (0515 GMT), mencetuskan panik dalam kalangan pelajar.
“Keadaan di sekolah menjadi huru-hara, semua orang berlari ke padang,” kata Muhammad Rizky Muzaffar, 16 tahun, kepada AFP.
“Ramai pelajar cedera dan terus dibawa ke hospital,” tambahnya, sambil menjelaskan bahawa letupan berlaku sejurus sebelum solat Jumaat bermula di masjid sekolah berkenaan.

Menurut jurucakap polis Jakarta, Budi Hermanto, seramai 54 cedera, dengan 33 daripada mereka “masih menerima rawatan perubatan.”
Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo, berkata suspek merupakan seorang pelajar yang turut cedera dan kini sedang menjalani pembedahan.
“Berkaitan motif, kami sedang menyiasat pelbagai maklumat,” katanya dalam satu sidang media.
Timbalan Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Lodewijk Freidrich Paulus, menggesa orang ramai agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru.
“Jangan terus menganggap ini sebagai perbuatan pengganas,” katanya seperti dipetik agensi berita negara Antara, sambil menambah bahawa siasatan masih dijalankan.

Beliau menjelaskan letupan berlaku di bahagian belakang masjid dalam kawasan sekolah dan berhampiran pintu masuknya.
Penyiasat, termasuk pasukan pemusnah bom, sedang memproses lokasi kejadian, dan wartawan AFP melihat beg plastik bukti diletakkan di atas tikar sembahyang.
Seorang lagi pelajar, Kinza Ghaisan Rayyan, 17 tahun, berkata terdapat kekeliruan pada mulanya.
“Pada mulanya kami fikir bunyi itu datang daripada peralatan elektronik, mungkin sistem pembesar suara… tetapi rupa-rupanya letupan itu berlaku di bawah tikar sembahyang,” katanya di sebuah hospital di Jakarta.
Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri, berkata pihak berkuasa telah menubuhkan pos di dua hospital bagi membantu waris mencari ahli keluarga mereka.
Ferdi Ibrahim, abang kepada seorang pelajar, berkata dia “terus panik” apabila mendengar berita mengenai letupan itu.
“Akhirnya saya menerima panggilan daripada guru adik saya sudah berada di unit kecemasan hospital,” kata lelaki berusia 30 tahun itu. – AFP