

KEMALANGAN jalan raya yang berlaku di Rantau Sukat Roban, tengah hari tadi. Foto: APM Saratok
SARATOK: Seorang lelaki warga asing mengalami kecederaan manakala seorang lagi rakannya dilaporkan tersepit selepas kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Rantau Sukat Roban, tengah hari tadi.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12.22 tengah hari.
Susulan itu, seramai empat anggota penyelamat bersama sebuah ambulans telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 25 kilometer dari pusat kawalan.
Setibanya di lokasi pada 1.00 petang, pihak penyelamat mendapati seorang mangsa lelaki berada dalam keadaan sedar namun terbaring di bahu jalan. Mangsa yang merupakan warga negara Indonesia itu dilaporkan mengalami luka kecil di bahagian mulut serta mengadu kesakitan pada bahagian kaki.
Seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dilaporkan masih tersepit di dalam kenderaan berkenaan. Mangsa tersepit itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba yang turut berada di lokasi bagi membantu kerja-kerja menyelamat yang mencabar tersebut.
Leftenan Nur Athirah menjelaskan bahawa anggota APM segera memberikan rawatan awal kepada mangsa yang berada di bahu jalan dengan memasang cervical collar bagi menstabilkan keadaan fizikalnya.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Saratok pada 1.16 petang untuk rawatan lanjut.
Dalam masa yang sama, mangsa yang tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba turut dibawa ke hospital yang sama menggunakan jentera pihak bomba.
Operasi menyelamat tersebut tamat sepenuhnya pada 2.05 petang.
Oleh Adi Safarman