

OPERASI MENYELAMAT…Pasukan bomba mengeluarkan mangsa kemalangan dari kenderaan pacuan empat roda.
JULAU: Dua lelaki warganegara Indonesia berumur dalam lingkungan 40 tahun mengalami detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit berhampiran Stadium Julau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 6.04 petang pada Khamis lalu.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba diketuai oleh komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Haron Jenai bergegas ke lokasi kemalangan.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
“Kedua-dua mangsa adalah lelaki warganegara Indonesia,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, seorang mangsa telah berjaya keluar dengan sendiri dan seorang mangsa lagi masih di dalam kenderaan tersebut.
“Mangsa di dalam kenderaan pacuan empat roda mengalami kecederaan di siku kiri akibat kemalangan tersebut dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa diserahkan kepada kakitangan perubatan Klinik Kesihatan Julau yang berada di lokasi untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi menyelamat di lokasi selesai sepenuhnya pada 6.58 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek