
BAU: Dua lelaki tempatan didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan awal air kencing yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman, berkata ujian tersebut dijalankan antara 9.40 pagi hingga 9.45 pagi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Bau.
Beliau berkata kedua-dua lelaki berusia 33 dan 36 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Kedua-dua suspek turut mengaku kali terakhir menagih dadah jenis syabu adalah kira-kira empat hari sebelum ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada sebarang rampasan dadah atau barangan lain dibuat dalam operasi tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau untuk tindakan lanjut.
Oleh Connie Chieng