
MIRI: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes menceroboh kawasan perumahan di Pujut, di sini, semalam.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Polis Daerah Miri, tangkapan ke atas kedua-dua suspek diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Jangan, bersama anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri.
Kenyataan itu memaklumkan, kedua-dua suspek diberkas pada sekitar 1.15 petang di kawasan tepi Jalan Pujut Corner.
“Polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa melakukan perbuatan menceroboh untuk dijadikan bahan bukti,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Oleh Liong Chai Ling