
PADAWAN: Dua lelaki tempatan didapati positif methamphetamine selepas ditahan dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menahan kedua-dua suspek berusia 24 dan 36 tahun di dua lokasi berbeza.
“Dalam tangkapan pertama, polis merampas ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.52 gram bersama pil Eramin 5. Dalam tangkapan kedua, sebanyak 0.32 gram ketulan kristal disyaki syabu turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Oleh Connie Chieng