

DUA lelaki tempatan disyaki mencuri dua unit bateri dan minyak diesel daripada sebuah jentolak milik seorang ketua kampung di Kabong ditahan polis semalam. Foto IPD Saratok
SARATOK: Polis menahan dua lelaki tempatan disyaki mencuri dua unit bateri dan minyak diesel daripada sebuah jentolak milik seorang ketua kampung di Kabong.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggil berkata, kedua-dua suspek berusia 26 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kabong dan Simpang Roban semalam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry.
Menurut beliau, kejadian dilaporkan pada 27 Oktober lalu apabila pengadu, seorang ketua kampung berusia 55 tahun, mendapati dua bateri jentolak bernilai RM806 dan sejumlah minyak diesel telah hilang di lokasi berhampiran rumah panjang di Kabong.

“Bertindak atas laporan, pasukan kami berjaya menahan kedua-dua suspek dan merampas dua unit bateri jenama Motolite Heavy Duty serta sebatang spanar boleh laras jenama Baolian yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan merupakan penagih dadah tegar.
Mereka mengaku mencuri komponen tersebut untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli bekalan dadah.
Suspek pertama, seorang bekas tentera yang menganggur dari Roban, disahkan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Suspek kedua, seorang buruh dari Kabong, turut positif dadah jenis sama dan mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.
“Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A(2) Kanun Keseksaan,” tambah beliau.
Oleh Adi Safarman