
BINTANGOR: Polis Meradong berjaya mengesan dan menahan dua suspek lelaki tempatan berkaitan kes kehilangan sebuah bot fiber dan enjin jenis Tohatsu 9.8 kuasa kuda (HP) yang dilaporkan hilang di daerah ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata tangkapan dibuat pada 3 Februari (semalam), sekitar 2.00 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang diketuai Inspektor Arnold Lee Mayok.
“Kedua-dua suspek ditahan di kawasan Jalan Mahkamah kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian bot fiber dan enjin Tohatsu 9.8HP yang dilaporkan menerusi laporan polis Bintangor Rpt: 0065/2026.
“Siasatan awal yang telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek dan mereka telah mengaku ada terlibat dengan kes curi bot fiber dan enjin jenis Tohatsu 9.8 HP.
“Kedua suspek kemudiannya membawa dan menunjukkan kepada pihak polis tempat bot fiber dan enjin jenis Tohatsu 9.8HP yang dicuri,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek dan hasil ujian mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Jika di sabitkan kesalahan kedua-dua saspek boleh dihukum dengan penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis khususnya IPD Meradong menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah dan menyeru kepada orang ramai agar memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti jenayah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Meradong terjaga serta terpelihara,” tegasnya.
Oleh Earl Anek