
LUBOK ANTU: Dua lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan di Jalan Lubok Antu, petang semalam.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penggunaan dadah berbahaya.
Pihak polis menegaskan akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan penagih dan pengedar.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha memerangi gejala dadah memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat dalam menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, IPD Lubok Antu menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan komuniti masing-masing demi memastikan keselamatan serta ketenteraman Daerah Lubok Antu terus terjamin.
Oleh Adi Safarman