BINTANGOR: Dua lelaki yang masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis Khas, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, kedua-dua suspek berusia 40 dan 43 tahun tersebut ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bermula kira-kira 5.30 petang.
Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan kemudian dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong, didapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau, dapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah berkaitan bersabit jenayah dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” katanya.
Tansli berkata, IPD Meradong memandang serius kesalahan berkaitan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi terhadap kegiatan tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama masyarakat untuk membantu pihak polis mengesan dan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek





