

SELANGAU: Dua lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ketika pemeriksaan dijalankan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu, Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 48 tahun itu ditahan kira-kira 11.00 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah yang menjalankan operasi berkenaan.
Menurutnya, tangkapan dibuat selepas pemeriksaan ke atas dua kenderaan berasingan mendapati kedua-dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek pertama menemukan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.15 gram.
“Pemeriksaan terhadap suspek kedua pula tidak menemukan sebarang barang larangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Katanya, suspek pertama yang bekerja sebagai buruh disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1) akta yang sama kerana menggunakan dadah.
“Suspek pertama direman selama empat hari sehingga 23 Jun 2026 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, suspek kedua yang turut bekerja sebagai buruh disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis melalui talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Akun Giman