
SARIKEI: Dua lelaki masing-masing didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Sarikei hari ini selepas didapati bersalah memiliki hasil hutan secara haram membabitkan 178 batang kayu gergaji di Bintangor pada tahun lalu.
Ling Ding King dan Loh Leh Chong, kedua-duanya berasal dari Sungai Tulai, Bintangor, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kayu gergaji tanpa dokumen sah pada 13 Januari 2023, sekitar 6.30 petang di Jalan Ulu Strass, Bintangor.
Menurut fakta kes, mereka ditahan bersama kayu-kayu tersebut yang dimuatkan di atas sebuah lori dalam satu operasi penguatkuasaan.
Mahkamah mendapati mereka melanggar Seksyen 96(1) dibaca bersama Seksyen 99 Ordinan Hutan 2015 (Cap. 71), yang memperuntukkan hukuman denda dan penalti tambahan jika sabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Sesyen Stella Augustine Druce memerintahkan tertuduh masing-masing membayar denda RM25,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar jumlah tersebut. Mereka juga diarahkan membayar sepuluh kali ganda nilai kayu yang dirampas kepada kerajaan Sarawak manakala semua barang kes dilucuthakkan kepada kerajaan.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad menegaskan bahawa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) akan terus memperketat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pembalakan haram.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi sumber hutan secara haram. Tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan sumber hutan Sarawak dilindungi dan diurus secara lestari,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Justin Lau Gek Liong bersama Pegawai Pendakwa Jabatan Hutan Sarawak, Denny Kana Joshua.
Oleh Amanda L.