
PETRA JAYA: Dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 54 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata di Kampung Agas Lama, Batu 13, Jalan Matang, awal bulan ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama melakukan rompakan di sebuah rumah milik seorang lelaki pada kira-kira 5.47 petang, 5 Julai lalu.
Mereka didakwa melarikan sebuah telefon bimbit jenama Vivo ketika melakukan rompakan tersebut dengan bersenjatakan sebilah parang dan sebatang besi.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 2 Kuching, Noorhisham Mohd Jaafar, sebelum kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.
Kes kemudian ditetapkan untuk pengurusan lanjut pada 17 Ogos depan sementara menunggu proses perbicaraan.
Sementara menunggu tarikh berkenaan, kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani tahanan reman di Penjara Puncak Borneo.
Oleh Adi Safarman




