
SIBU: Dua lelaki maut selepas terjatuh ke dalam ruangan sempit kapal tongkang ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di kawasan berhadapan Toyota Centre, Lorong Lanang 61 di sini, pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ting Tung Hu, 48, dan Tang Sing Kok, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas usaha menyelamat dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral.

Ketua Zon Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Andy Alie berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.21 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati dua mangsa telah terjatuh ke dalam ruangan sempit kapal kira-kira 9.00 pagi ketika sedang mengepam air sebelum memulakan kerja mengimpal.
“Mangsa pertama ditemui dalam keadaan telungkup di tepi tangga manakala mangsa kedua dalam keadaan telentang, kira-kira satu meter dari lokasi mangsa pertama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan dengan menggunakan alat pernafasan sebelum mangsa diikat dengan tali dan ditarik keluar menggunakan sistem takal, dengan anggaran kedalaman tiga meter dari tempat mangsa ditemui ke permukaan kapal.
“Kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Andy mengesahkan punca kematian dipercayai akibat terhidu gas bertoksik yang terdapat di dalam ruang tertutup kapal berkenaan.
Oleh Tarani Lanting