
KUCHING: Dua lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda bersama rakan di Sungai Rayu, Jalan Sungai Rayu Matang, di sini petang tadi.
Menurut Pegawai Kanan Operasi (PKO), PBK II Asmadi Mohamad Nawei, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 3.55 petang.
“Satu jentera digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 31 kilometer.
“Setibanya jentera di lokasi pada 4.30 petang, didapati kedua-dua mangsa telah dijumpai oleh rakan mereka sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Mangsa pertama dikenali sebagai Azli Abdul Kadir, 19, manakala identiti mangsa kedua, yang dianggarkan berusia 27 tahun, masih dalam proses pengesahan.
“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, sebelum dibawa ke Hospital Lundu.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.55 petang dengan kerjasama anggota KKM dan PDRM.
Oleh Masrin Affirah