
LAWAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lawas telah menangkap dua lelaki yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, memaklumkan bahawa kejadian berlaku semalam sekitar 10.00 pagi di tepi Jalan Kampung Banting, Lawas.
Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas telah menahan sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai satu keratan tiub straw lut sinar berisi hablur-hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.40 gram.
Suspek yang berusia 34 tahun ditahan untuk siasatan lanjut pihak Polis. Hasil ujian awal mendapati suspek positif dadah jenis Amp & Meth.
Suspek telah ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Semakan kesalahan lampau terhadap saspek mendapati mempunyai 5 kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Sementara itu dalam operasi berasingan, pihak Polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di kawasan bandar Lawas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amp & Meth. Suspek telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Semakan terhadap kesalahan lampau mendapati suspek tiada kesalahan lampau.
DSP Liong menegaskan bahawa pihak Polis akan meningkatkan operasi pencegahan jenayah dan dadah di daerah Lawas.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat amatlah dihargai.
Oleh Adeng Edrus