
LUBOK ANTU: Lelaki warga tempatan dan lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran di Jalan Lubok Antu–Sri Aman berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jelukong, petang semalam.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu hari ini berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 3.40 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lubok Antu yang diketuai Inspektor Harper Kenol.
“Suspek utama, lelaki tempatan berusia awal 30-an, ditahan bersama seorang lelaki warga asing berumur 18 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis turut merampas kenderaan yang digunakan untuk membawa migran berkenaan serta telefon bimbit milik suspek tempatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Menurut kenyataan itu, ujian saringan air kencing ke atas lelaki tempatan tersebut turut mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Polis Lubok Antu akan terus mempergiatkan operasi dan rondaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran serta pemerdagangan orang, terutama di kawasan sempadan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman