

LAWAS: Polis Daerah Lawas berjaya menumpaskan sindiket kecurian kabel telekomunikasi selepas menangkap dua lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun yang terlibat dalam beberapa kes kecurian di sekitar daerah ini.
Operasi berterusan bermula selepas laporan polis diterima pada bulan Jun dan Julai 2025 ini akhirnya membuahkan hasil apabila tangkapan suspek berjaya menyelesaikan enam kes kecurian kabel dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM38,000.
Tangkapan pertama pada 29 Julai 2025, sekitar 11.30 pagi di Pos Sempadan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Merapok, apabila seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abol’ ditahan ketika dalam perjalanan ke Sipitang, Sabah untuk menjual kabel curi.
Pemeriksaan polis menemui satu bungkusan plastik berisi dawai tembaga dan alat memotong kabel. Siasatan susulan membawa kepada rampasan 112 kg dawai kabel di sebuah kedai barang lusuh di Sipitang. Suspek kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Lawas pada 7 Ogos 2025 atas lima pertuduhan kecurian dan dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 18 bulan.
Tangkapan kedua dilakukan pada 8 Ogos 2025, sekitar 5.00 petang di tepi Jalan Ulu Merapok, Lawas, apabila rakan ‘Abol’ turut diberkas. Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kecurian kabel telekomunikasi supaya segera melaporkan kepada pihak polis di talian 085-283037 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membeli atau menyimpan kabel yang bukan hak milik sah kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Jika harta curi itu melibatkan kenderaan atau komponennya, mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, pelaku boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta denda,” tegasnya.
Oleh Adeng Edrus