
LAWAS: Polis menahan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan bandar di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata tangkapan dilakukan sekitar 2.50 petang oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, tiada sebarang barang terlarang atau dadah ditemui pada tubuh badan kedua-dua suspek. Namun, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamine (Amp),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan terdahulu, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” ujarnya.
Oleh Adeng Edrus