
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya menerima laporan polis kira-kira 10.34 pagi pada Ahad lepas berhubung kehilangan sebuah motosikal jenis Honda yang diparkir di belakang Bangunan Rajah Cafe, Jalan Pending.
Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching telah menjalankan operasi pada Ahad lepas dan hari ini.
Operasi itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 33 tahun di Kampung Siol Kandis dan Kampung Pulo.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah motosikal Honda Wave berwarna merah dan hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna merah. Selain itu, polis juga telah menjumpai motosikal yang dilaporkan hilang pada hari yang sama,” katanya.


Semakan awal mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Hasil saringan awal ujian air kencing juga didapati positif dadah.
Menurut Alexson, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan memastikan kenderaan diparkir di tempat yang selamat, berkunci dan dilengkapi sistem keselamatan tambahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Oleh Connie Chieng