
LUBOK ANTU: Dua lelaki tempatan ditahan pasukan polis dalam Operasi Tapis Khas/Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu di sekitar kawasan Engkilili dan Lubok Antu, petang semalam.
Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah proaktif pihak polis bagi membanteras jenayah serta memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini berada pada tahap terbaik.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, kedua-dua suspek ditahan selepas ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Susulan itu, kedua-dua lelaki berkenaan telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan siasatan terperinci oleh pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.


Sementara itu, seramai 25 pegawai dan anggota polis terlibat dalam Operasi Bersepadu tersebut yang dijalankan dengan pemantauan rapi di beberapa lokasi tumpuan.
Sepanjang operasi berlangsung, sebanyak 120 kenderaan dan 140 individu telah diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
Selain itu, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 28 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi dijalankan.
IPD Lubok Antu menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara di daerah berkenaan.
Oleh Adi Safarman