

DUA lelaki tempatan ditahan dalam operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah Op Tapis Khas IPD Saratok semalam. Foto IPD Saratok
SARATOK: Dua lelaki tempatan ditahan dalam operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah Op Tapis Khas yang dijalankan oleh Pasukan Task Force Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan pertama dilakukan di Taman Seroja Indah, Saratok pada 23 Oktober selepas pasukan polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan seorang lelaki yang disyaki penagih di kawasan berkenaan.
“Suspek berusia 23 tahun yang berasal dari Semariang, Kuching ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.
“Semakan lanjut mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tangkapan kedua pula dilakukan pada 24 Oktober di Jalan Lot Kampung Melayu, Roban, Saratok hasil maklumat awam yang diterima.
“Suspek kedua berusia 28 tahun dari Roban turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes narkotik,” jelasnya.
Kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mathew turut mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta menegaskan bahawa polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Oleh Adi Safarman