
SARATOK: Polis menahan dua lelaki tempatan di Taman Seroja Indah, selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi satu operasi khas yang dijalankan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata operasi berkenaan dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas Op Tapis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry bermula 2.00 petang hingga 11.59 malam.
Menurut beliau, tindakan itu susulan maklumat yang diterima mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan perumahan tersebut.
Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menahan dua lelaki yang dipercayai penagih dadah sebelum dibawa ke Balai Polis Saratok bagi ujian saringan air kencing.
Suspek pertama, berusia 23 tahun, didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, selain mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes narkotik.
Seorang lagi suspek berusia 21 tahun turut disahkan positif bahan terlarang sama dan mempunyai tiga rekod lampau bersabit narkotik.
Mathew berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adi Safarman