Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Dua lelaki ditahan, dadah RM328,173 dirampas, aset RM604,000 disita
  • JENAYAH

Dua lelaki ditahan, dadah RM328,173 dirampas, aset RM604,000 disita

Utusan Sarawak 4 hours ago
ANGGOTA polis menunjukkan dadah dan aset yang dirampas dalam serbuan di Kuching.

KUCHING: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM328,173.50 serta menyita aset dianggarkan bernilai RM604,000 dalam satu operasi besar-besaran membanteras dadah di sini, awal bulan ini.

Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan harta berjumlah RM932,173.50.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata tangkapan dilakukan pada 8 Januari, antara 3.40 petang hingga 7.50 malam, oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

“Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 42 dan 38 tahun, serta merampas pelbagai jenis dadah termasuk 5,662.90 gram syabu, 1,819 gram ketamin, 120 gram pil Erimin 5 dan 560.2 gram ekstasi, dengan anggaran nilai keseluruhan RM328,173.50,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita harta yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah melibatkan lima kenderaan, sebuah motosikal dan sebuah jam tangan mewah, dengan jumlah anggaran nilai RM604,000.

“Aset yang disita termasuk dua Toyota Alphard bernilai RM240,000, sebuah Mercedes GLA 250 bernilai RM180,000, sebuah Toyota Harrier bernilai RM40,000, sebuah Perodua Alza bernilai RM35,000, sebuah motosikal Yamaha bernilai RM29,000 serta sebuah jam tangan Rolex yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya.

Menurut Alexson, dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh sehingga 32,573 penagih.

Siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun bertindak sebagai penyewa sebuah apartmen dan penghantar dadah, manakala suspek berusia 38 tahun pula bertanggungjawab mengumpul bekalan dadah dan menyimpannya sebelum diedarkan di sekitar bandar ini.

“Suspek berusia 42 tahun menerima arahan daripada rakan subahatnya sebelum membuat penghantaran kepada pelanggan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ketua serta rangkaian sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 42 tahun positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek berusia 38 tahun positif benzodiazepine.

Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari, bermula 9 hingga 16 Januari, di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang,” katanya.

Beliau menambah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kekal komited dalam memerangi dadah bagi melindungi generasi kini dan akan datang, serta menyifatkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: 52 kenderaan diperiksa dalam operasi harian JPJ Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.