
MIRI: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes curi basikal dalam satu operasi di kawasan Lutong awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dilakukan sekitar 12.25 tengah malam oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Jangan.
“Hasil operasi tersebut, polis berjaya menahan dua suspek lelaki dan merampas sebuah basikal yang dipercayai dicuri selain beberapa barangan lain milik suspek,” katanya di sini.
Menurut Mohd Farhan, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah dan memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Orang awam juga digesa menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah di Daerah Miri,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling