
MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) di Simpang Jalan Cerdas, Wisma Persekutuan Miri, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemeriksaan dijalankan pada 11.20 malam tadi, selepas polis mengesan dua individu yang berada di tepi kawasan kabel bawah tanah milik TM.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek sedang membuat persediaan untuk memotong kabel bawah tanah dengan menggunakan peralatan seperti takal rantai dan penarik kabel,” katanya.
Menurut ACP Mohd Farhan, kedua-dua suspek berusia 41 dan 28 tahun itu ditahan di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati modus operandi mereka adalah mencuri kabel bawah tanah pada waktu lewat malam di kawasan yang sunyi dan gelap.

Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dan akan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
Polis turut menegaskan komitmen untuk terus membanteras kegiatan jenayah khususnya kecurian kabel yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam dan menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.
Oleh Adum Liu