Dua lelaki ditahan, 12 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah

Facebook
WhatsApp
OP Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan IPD Kota Samarahan di sekitar Jalan Stakan.

KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kesalahan berkaitan dadah dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan awal pagi tadi.

Menurut kenyataan IPD Kota Samarahan, operasi bermula 10.00 malam semalam, hingga 2.00 pagi tadi, dengan melibatkan seramai 13 pegawai dan anggota polis.

“Sekatan jalan raya dilaksanakan di Jalan Stakan, Kota Samarahan, manakala rondaan cegah jenayah turut dipertingkatkan di kawasan hotspot, taman perumahan dan perkampungan sekitar daerah berkenaan.

“Sepanjang operasi, sebanyak 57 kenderaan dan 59 individu diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras kegiatan jenayah,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, polis turut mengeluarkan 12 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu dan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

“Operasi itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua suspek ditahan atas kesalahan memiliki dadah serta selepas keputusan ujian saringan air kencing masing-masing didapati positif dadah,” jelasnya.

IPD Kota Samarahan menegaskan akan terus mempergiatkan operasi cegah jenayah dan rondaan berfokus dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kehadiran polis di kawasan tumpuan.

“Langkah berkenaan turut bertujuan mencegah kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat di daerah Kota Samarahan sentiasa terpelihara,” ujarnya.