KUCHING: Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian berkata dua lelaki dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen III Kuching hari ini selepas didapati bersalah atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Beliau berkata tertuduh pertama, seorang lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling di bawah Seksyen 26 akta sama serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk dihantar pulang ke Indonesia selepas selesai menjalani hukuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tertuduh kedua, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun pula berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 akta sama.
“Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan, manakala pertuduhan kedua dikenakan hukuman penjara tiga tahun. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman tersebut dijalankan secara berturutan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh kedua menjalani kaunseling serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Freddy berkata pihak polis memandang serius kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkenaan.
Beliau turut menyeru orang awam menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki berlakunya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.




