
SIBU: Mahkamah Majistret Sibu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan terhadap seorang pekerja ladang kerana memiliki selaras bakakuk dan enam butir peluru hidup tanpa lesen.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Iruwan Lajang, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Iruwan didakwa memiliki senjata api dan peluru tersebut di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Sungai Lengan pada 9 Mac 2025, sekitar 2.50 petang.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis yang dipandu arah oleh tertuduh bersama seorang wanita telah menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah pekerja ladang di Jalan Batang Lebaan/Jalan Tanjung Manis, Sibu.
Hasil pemeriksaan menemui selaras bakakuk dan enam butir peluru hidup. Tertuduh kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
Siasatan mendapati senjata bakakuk tersebut tidak lagi berfungsi, manakala kesemua peluru masih dalam keadaan baik. Pihak Pejabat Daerah Sibu turut mengesahkan bahawa tertuduh tidak memiliki lesen senjata api dan gagal mengemukakan dokumen pemilikan peluru hidup.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki turut dikenakan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan atas kesalahan memiliki senapang angin tanpa lesen.
Tertuduh, Mohamad Isa Mohamad, 44, didakwa memiliki senjata tersebut di sebuah rumah di Lorong Sentosa 5B pada 7 Mac 2025, sekitar 7.49 malam.
Fakta kes menyatakan, pemeriksaan polis di rumah berkenaan telah menemui selaras senapang angin di dalam almari di bilik tertuduh serta satu bekas besi mengandungi 100 pelet senapang angin.
Siasatan lanjut mendapati senjata tersebut masih berfungsi dan tertuduh tidak memiliki sebarang lesen senjata api serta dokumen berkaitan pelet tersebut.
Kedua-dua tertuduh dibebaskan selepas membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Oleh Akun Giman