

LAWAS: Dua lelaki telah ditahan dalam Operasi Tapis Khas di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata sepasukan polis telah menahan kenderaan di tepi jalan di bandar Lawas yang dinaiki oleh dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun.
“Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan badan telah menemui dua paket plastik lut sinar berisi hablur disyaki dadah jenis syabu serta satu keratan tiub straw yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan dirampas untuk dijadikan barang kes. Anggaran berat kasar rampasan ialah 2.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-duanya tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus