

KOTA SAMARAHAN: Dua lelaki yang disyaki mencuri buah limau di sebuah kebun di Jalan Teluk Sabang Cina, di sini, ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, semalam.
Menurut kenyataan IPD Kota Samarahan hari ini, kejadian berlaku ketika anggota MPV menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan pentadbiran Kota Samarahan dan menerima maklumat daripada orang awam mengenai tangkapan tersebut.
“Bertindak atas maklumat, pasukan MPV bergegas ke lokasi dan menahan semula dua suspek berkenaan yang telah ditahan oleh pengadu bersama penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.
Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Kesemua barang rampasan bersama dua suspek berusia lingkungan 30-an itu dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.
Pihak polis dalam kenyataan itu turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat segera sekiranya berlaku sebarang aktiviti mencurigakan atau jenayah di kawasan mereka, bagi membantu mencegah kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman