
KUCHING: Dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod kesalahan berulang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dijatuhi hukuman penjara dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuching.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintendan Sudirman Kram berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lundu semasa Operasi Tapis Khas yang dijalankan baru-baru ini.
“Penahanan tersebut membawa kepada pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta yang sama,” katanya.
Menurutnya, pesalah pertama berumur 40 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan dan satu sebatan, manakala pesalah kedua berumur 32 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dua bulan dan satu sebatan.
Kedua dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan hukuman dijatuhkan selepas pengakuan bersalah dibuat.
Sudirman berkata, kedua dua pesalah mempunyai rekod lampau iaitu dua sabitan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2019 dan 2023.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat Januari tahun ini, sebanyak lima kes pertuduhan telah direkodkan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 berbanding tujuh kes yang direkodkan sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan akan terus komited membendung masalah dadah dalam kalangan masyarakat di daerah ini,” katanya.
Oleh Connie Chieng