
KUALA LUMPUR: Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci menjadikan jumlah keseluruhan kematian 13 orang setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata kematian melibatkan jemaah lelaki berasal dari Kelantan, Ghazali Ab Rahman, 74, yang menghembuskan nafas terakhir di Maktab 89A pada 4 pagi Khamis (12 Jun) waktu Arab Saudi, akibat serangan jantung.
Sementara jemaah kedua ialah Hasmi Mohd Bojeng, 78, dari Sibu, Sarawak, yang meninggal dunia pada 5.21 pagi, 12 Jun waktu Arab Saudi di Rehab Al-Janadiriyyah, Maktab 90A juga akibat serangan jantung.
“Kedua-dua kematian disahkan oleh petugas kesihatan Tabung Haji (TH), iaitu Dr Syafiq Haziq Mahadi dan Dr Wan Mohd Hafizullah Wan Mansor,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas TH yang terus komited dalam menjaga kebajikan jemaah dan menyampaikan rasa simpati yang tidak terhingga kepada semua waris kedua-dua jemaah terbabit.
“Doa kita agar kedua-dua Almarhum dan Almarhumah ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan dikurniakan ganjaran haji mabrur oleh Allah SWT,” katanya.– Bernama