
MIRI: Sebuah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Pine Ville 3, South Lake awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.29 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamati BBP Lopeng dengan bantuan BBP Miri dikerahkan ke lokasi.
Katanya,pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 11 minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah yang terbakar 100 peratus.
“Selain itu, dua rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat kesan asap dan haba, manakala dua kenderaan juga musnah sepenuhnya dalam kejadian ini,” katanya.
“Anggota bomba bertindak menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran hos hantaran dengan satu pancutan bagi mengawal serta memadam kebakaran” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 2.45 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.22 pagi.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden ini,” jelasnya lagi.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling