
BATU NIAH: Persatuan Peningkatan Moral Che Yan Khor Batu Niah terus komited dalam usaha kebajikan apabila menyumbangkan dua unit katil pesakit kepada dua keluarga kurang berkemampuan di Kampung Tanjung Belipat.
Pengerusinya, Penghulu Pui Kuan Phen berkata sumbangan tersebut dibuat selepas menerima permohonan daripada keluarga pesakit yang memerlukan bantuan peralatan penjagaan kesihatan di rumah.
Menurut beliau, jawatankuasa kebajikan persatuan telah membuat penelitian dan memahami keadaan sebenar keluarga terbabit sebelum meluluskan bantuan berkenaan.
“Persatuan telah bermurah hati menyumbangkan dua unit katil pesakit bagi membantu meringankan beban keluarga yang menjaga ahli keluarga mereka yang uzur dan memerlukan penjagaan rapi.
“Sumbangan pertama disampaikan pada 9 Jun lalu kepada mendiang Linggi Yap. Namun, kami dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia semalam.
“Sumbangan kedua pula disampaikan hari ini kepada Aduan Merown yang sedang menjalani rawatan akibat strok,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memberi keselesaan kepada pesakit serta memudahkan urusan penjagaan harian oleh ahli keluarga.
Dalam pada itu, Persatuan Che Yan Khor Batu Niah menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan dan membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Katanya, usaha berterusan itu selaras dengan semangat kemanusiaan, kebajikan dan perpaduan yang menjadi teras perjuangan persatuan berkenaan.
Oleh Adum Liu