Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Dua karya arahan Syafiq Yusof dominasi Top 5 FFM34
  • HIBURAN

Dua karya arahan Syafiq Yusof dominasi Top 5 FFM34

Utusan Sarawak 18 hours ago
DUA karya arahan Syafiq Yusof, Blood Brothers: Bara Naga dan Soloz: Game Of Life, mencuri tumpuan apabila masing-masing tersenarai antara lima calon Filem Terbaik yang mendominasi senarai Top 5 Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

KUALA LUMPUR: Dua karya arahan Syafiq Yusof, Blood Brothers: Bara Naga dan Soloz: Game Of Life, mencuri tumpuan apabila masing-masing tersenarai antara lima calon Filem Terbaik yang mendominasi senarai Top 5 Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

Blood Brothers: Bara Naga, yang diarahkan bersama Abhilash Chandra, meraih 13 pencalonan dalam 11 daripada 25 kategori yang dipertandingkan termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Aksi Lagak Ngeri Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios itu, yang mencatat kutipan lebih RM70 juta, turut tercalon dalam kategori Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik serta Rekaan Kostum/Busana Terbaik.

Menariknya, tiga pelakon filem berkenaan iaitu Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifli dan Syafiq Kyle, masing-masing tersenarai dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala Sharnaaz Ahmad dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Soloz: Game Of Life pula menerima 11 pencalonan daripada 11 kategori termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Cerita Asal Terbaik.

Filem yang diinspirasikan daripada kisah perjalanan hidup pemain e-sukan terkemuka negara, Muhammad Faris Zakaria itu, turut tersenarai dalam kategori Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Khas Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.

Turut bersaing dalam kategori Filem Terbaik ialah Takluk: Lahad Datu, Reversi dan Babah.

Kategori Filem Pendek Terbaik memperlihatkan persaingan lima karya iaitu Jerat, Rhythm of Rainforest, Syurga Itu Mahal, Saranghae dan Tunggu Abah, manakala bagi kategori Dokumentari Terbaik tumpuan diberikan kepada Jusit Rantai, Nadi Peralihan Tenaga, The Tides Will Decide, Rindu Tak Berpenghujung serta Derita Zara.

Kategori Pelakon Wanita Terbaik pula menyaksikan persaingan sengit apabila dua pelakon utama Telaga Suriram, Nabila Huda dan Maya Karin, akan berentap sesama sendiri selain perlu bersaing dengan Sofia Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang… Aku Tahu Asal Usulmu) serta Sweet Qismina yang menampilkan lakonan mantap dalam Babah.

Amir Ahnaf dan Fadhli Masoot dari Kahar Kapla HighCouncil pula akan bersaing dengan Hun Haqeem (Soloz: Game Of Life), Vijay Ganesh (Mirugasirisham) dan Koh Teng Huat bagi merebut trofi Pelakon Lelaki Harapan.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Perasmian dan Pengumuman Top 5 FFM34 malam tadi, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

FFM34 bertemakan “Karya Kreatif, Sinema Dinamik” anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan sokongan Kementerian Komunikasi, menerima 41 penyertaan filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari sepanjang tempoh permohonan dari 8 hingga 25 Julai lepas.

Sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan terhadap penggiat filem tempatan, pemenang kategori Filem Terbaik FFM34 akan menerima sokongan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

Pemenang 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas akan menerima RM10,000 dan trofi.

Selain itu, turut disediakan hadiah berjumlah RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti Finas untuk tujuh kategori iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik serta Filem Pendek Terbaik.

Bagi menghargai jasa tokoh seni yang telah mencorakkan perjalanan sinema tanah air, Finas turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bagi mengiktiraf empat penggiat seni tanah air iaitu seniwati Datin Rusnani Jamil, Ruminah Sidek, Datuk Rahim Razali dan Othman Hafsham.

Malam Anugerah FFM34 akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada 1 November dan dijangka dihoskan oleh pelakon Datuk Afdlin Shauki bersama Che Puan Sarimah Ibrahim.

Acara itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM serta saluran YouTube Finas.- Bernama

Continue Reading

Previous: Piccioli bawa nafas baharu kepada Balenciaga, Meghan Markle curi tumpuan di Paris
Next: RM BTS akui sedia berumah tangga jika bertemu jodoh tepat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.