

SIAP DINAIK TARAF… Tinjauan ke projek siap oleh Kapitan Ling Dien Yong selaku wakil Datoʼ Sri Huang Tiong Sii. Foto Pusat Khidmat Repok
SARIKEI: Dua jambatan di Jalan Council dan Jalan Sungai Ribong berjaya dinaik taraf menerusi projek khas Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii, berkata jambatan yang masing-masing berukuran empat meter lebar dan 18 meter panjang tersebut siap dinaik taraf bagi memberi kemudahan lebih selesa serta tahap keselamatan lebih baik kepada penduduk setempat.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan infrastruktur asas luar bandar terus dipertingkatkan.
“Projek menaik taraf jambatan ini memberi manfaat besar kepada penduduk kerana ia memudahkan pergerakan harian dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Hadir bagi mewakili beliau ke tinjauan projek siap tersebut ialah Kapitan Ling Dien Yong, baru-baru ini.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok kejayaan projek itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan penduduk setempat yang sentiasa memberikan sokongan.
“Dengan adanya jambatan yang dinaik taraf ini, ia bukan sahaja melancarkan perjalanan penduduk, malah turut menyokong aktiviti ekonomi kecil dan perhubungan sosial di kawasan sekitar,” katanya.
Tiong Sii turut menegaskan, kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan sewajarnya bagi membaik pulih serta menaik taraf infrastruktur asas lain di kawasan Parlimen Sarikei dan Repok.
Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek khas MARRIS ini sehingga siap dilaksanakan dengan baik.
Oleh Earl Anek