

SIBU: Penduduk di flat kos rendah Lorong 18C, Jalan Salim di sini kini boleh menarik nafas lega apabila masalah banjir yang telah sekian lama dihadapi mereka mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing.
Situasi tersebut, yang menghalang pergerakan penduduk setiap kali dilanda hujan lebat, bakal diatasi melalui pembinaan dua jambatan besi bagi menggantikan jambatan kayu yang usang dan kurang selamat.
Menurut Tiong, penduduk di situ terpaksa menggunakan jambatan kayu untuk bergerak masuk dan keluar dari kawasan kediaman mereka.
“Malah, satu blok flat di kawasan tersebut tidak dilengkapi dengan jambatan, memaksa penduduk meredah air banjir selepas hujan lebat.
“Setiap kali hujan lebat, penduduk terpaksa berhadapan dengan banjir yang melanda kawasan kediaman mereka. Untuk tempoh lama, mereka hanya bergantung pada jambatan kayu yang sudah terlalu lama dan rapuh.
“Keadaan ini menyebabkan banyak kesulitan, terutama bagi golongan warga emas dan keluarga dengan anak kecil. Namun, dengan pembinaan dua jambatan besi yang lebih kukuh, masalah ini kini dapat diatasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menerusi pembinaan jambatan besi tersebut, pergerakan penduduk akan menjadi lebih selamat dan mudah, tanpa perlu lagi meredah banjir selepas hujan.
Pembinaan jambatan itu juga adalah usaha awal bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan tersebut.
Selain itu, Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut menekankan bahawa masalah yang dihadapi oleh penduduk bukan sahaja terhad kepada banjir, tetapi juga isu hak milik tanah dan Sijil Layak Menduduki (OP) yang belum diserahkan kepada mereka.
Namun, dengan sokongan serta usaha berterusan pihak kerajaan, beliau akan berusaha untuk mendapatkan dana yang mencukupi bagi memperbaiki infrastruktur dan memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.
“Dengan pembinaan jambatan besi ini, kami berharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk. Kami juga akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah lain yang dihadapi oleh mereka, termasuk isu hak milik dan infrastruktur yang lebih baik,” ujarnya.
Oleh Tarani Lanting