ROBAN: Dua jalan utama menuju ke rumah panjang Nyiar dan Jelupang dekat sini telah dinaiki air dan tidak dapat dilalui kesemua jenis kenderaan darat, di sini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan (PA) Nur Athirah Batu berkata hasil pemantauan anggotanya yang betugas sekitar 12.50 tengah hari mendapati jalan utama menuju ke rumah panjang Nyiar dan Jelupang telah dinaiki air setinggi 2.5 kaki.
Beliau berkata ia disebabkan oleh faktor hujan belarutan petang semalam hingga pagi hari ini menyebabkan punca air naik mendadak dan tidak dapat dilalui kesemua jenis kenderaan darat.
“Bagaimanapun penduduk kampung masih dapat keluar menggunakan jalan altenatif di skim padi. Beberapa kawasaan rendah sepanjang jalan menuju ke Nyiar dan Jelupang telah dinaiki air di lokasi 1, setinggi 0.20 inci, di lokasi kedua setinggi 1 kaki dan di lokasi ke 3 setinggi 2.5 kaki,” katanya.
Nur Athirah berkata tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, dan penduduk juga dinasihat supaya berhati-hati serta sentiasa peka dengan keadaan sekeliling walaupun keadaan tersebut masih terkawal.
“Anggota APM akan terus memantau situasi semasa dengan turun padang ke kawasan terjejas dan menasihati penduduk di kawasan yang berisiko banjir untuk peka akan arahan semasa daripada pihak berwajib.
“Penduduk perlu bersedia mengemas dan memindahkan barangan masing-masing dan apabila diarahkan berpindah mereka perlu segera bertindak,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN