

TINJAUAN… Ahli-ahli pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei dan Penolong Jurutera JPS Bahagian Sarikei menjalankan tinjauan di dua jalan kampung di Sungai Tulai.
BINTANGOR: Dua jalan kampung di Sungai Tulai bakal dinaik taraf di bawah Program Mesra Rakyat (PMR) 2024 dan 2025, hasil inisiatif Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, permohonan tersebut dikemukakan bagi memastikan penduduk di kawasan Meradong menikmati kemudahan asas yang lebih baik dan selesa.
“Saya percaya pembangunan infrastruktur asas seperti jalan kampung adalah pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Ia bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, tetapi juga meningkatkan keselamatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi,” katanya ketika dihubungi media, baru-baru ini.
Katanya, usaha memperkukuh jaringan jalan kampung akan terus dipergiat agar masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Saya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan dan melaksanakan projek sebegini di kawasan luar bandar supaya masyarakat kita menikmati kemajuan yang seimbang dengan kawasan bandar,” katanya.
Kedua-dua projek tersebut diletakkan di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei.
Ia merangkumi kerja pembaikan serta penurapan konkrit di Jalan Siung Hwrong, bahagian Jalan Tong Ah melalui PMR 2025, manakala pembaikan pembetung dan penurapan konkrit di Jalan Wong Sing Ngie, bahagian Jalan Hap Hing dilaksanakan melalui PMR 2024.
Wakil Tiong Sii, ahli-ahli pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei dan Penolong Jurutera JPS Bahagian Sarikei telah meninjau kedua-dua lokasi bagi menilai keadaan semasa jalan selain mendengar sendiri keperluan penduduk.
Oleh Earl Anek