
KUALA LUMPUR: Polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di ibu negara masih terkawal dan Kuala Lumpur berada dalam keadaan aman meskipun dua insiden tembakan dilaporkan berlaku di Brickfields dan Cheras dalam tempoh empat hari.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua kejadian dipercayai berpunca daripada perseteruan antara suspek dan mangsa serta mempunyai motif tertentu, dan bukannya melibatkan tembakan rambang.
“Seperti yang dinyatakan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Rusdi Mohd Isa), kejadian tersebut melibatkan sasaran tertentu dan ia berlaku akibat konflik yang tercetus di luar kawasan ibu negara.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana keselamatan di sekitar Kuala Lumpur masih terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Razarudin berkata susulan kejadian itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah meningkatkan kawalan dan operasi bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
“Kuala Lumpur masih selamat dan polis akan terus memastikan keselamatan masyarakat terjamin. Kita turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mengetahui tentang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua kejadian tembakan berasingan dalam tempoh empat hari dipercayai berpunca daripada perselisihan lampau antara suspek dan mangsa.
Dalam kejadian di Jalan Loke Yew, Cheras lewat malam semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur berkata ia dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak, manakala kes di Brickfields yang berlaku Jumaat lalu pula dipercayai berkaitan konflik jenayah di Selangor.
Dalam insiden yang berlaku di Cheras, dua lelaki warga tempatan maut ditembak sekumpulan lelaki memakai topeng ski hitam di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Loke Yew. Sementara itu, dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields pada 14 Jun lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya cedera akibat ditembak.– Bernama